fbpx

Dua sahabat tersesat ketika mendaki Bukit Bauk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui Mohammad Haikal dan Ahmad Syakir yang tersesat di Bukit Bauk, Dungun semalam.

DUNGUN – Dua sahabat yang teruja mendaki Bukit Bauk di sini cemas apabila tersesat hampir tiga jam semalam sebelum diselamatkan pasukan keselamatan.

Kedua-dua lelaki tersebut, Muhammad Haikal Mohd Faiz Azmi dan Ahmad Syakir Aidil Mat Zahari yang berusia 21 tahun ditemui selamat namun berada dalam keadaan keletihan pada pukul 1.30 tengah hari.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, Muhammad Haikal dan Ahmad Syakir yang masing-masing menetap di Marang dan Felda Kerteh 3 di sini memasuki bukit tersebut menerusi Taman Rimba Bukit Bauk pada pukul 8.30 pagi.

“Pada mulanya, mereka mendaki Bukit Bauk yang mempunyai ketinggian hampir 400 meter menggunakan laluan denai disediakan sehingga sampai ke puncak bukit.

“Begitupun, kedua-dua lelaki tersebut tersasar dari laluan pendakian asal sewaktu dalam perjalanan menuruni bukit,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Azman berkata, Muhammad Haikal dan Ahmad Syakir yang cemas telah menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan pada pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada 20 anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berjaya menemui mereka pada kedudukan kira-kira dua kilometer dari laluan pendakian asal hampir sejam setengah kemudian. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI