fbpx

Chiesa bantu julang Juventus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHIESA (kiri) menjadi wira Juventus apabila meledak gol tunggal ketika meraih kemenangan ke atas Chelsea awal pagi semalam. – AFP

TURIN – Kekebalan benteng pertahanan Juventus berjaya mempertahankan kelebihan satu gol untuk menewaskan juara bertahan, Chelsea 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Juventus awal pagi semalam.

Pemain sayap sensasi, Fede­rico Chiesa muncul wira apabila gol tunggalnya yang merupakan satu-satunya percubaan tepat Juventus sepanjang 90 minit perlawanan menghadiahkan tiga mata berharga buat jaguh Itali itu.

“Perlawanan yang cukup sukar kerana Chelsea mengasak kami bertubi-tubi selain me­nguasai sebahagian besar permainan. Kami terpaksa bertahan dan menunggu peluang melakukan serangan balas.

“Kemenangan ini membuktikan semangat juang tinggi dimiliki setiap pemain Juventus seperti yang mahu dilihat oleh jurulatih (Massimiliano Allegri). Kami lakukannya dengan baik dan menghukum Chelsea,” kata Chiesa.

Juventus lebih banyak bertahan di kubu sendiri dan menanti asakan Chelsea yang memegang 74 peratus penguasaan permainan dengan melakukan 16 percubaan tetapi gagal menewaskan penjaga gol tuan rumah, Wojciech Szczesny.

Selepas gol Chiesa pada minit ke-46, The Old Lady sepatutnya boleh ‘membunuh’ perlawanan itu lebih awal tetapi Federico Bernadeschi gagal memanfaatkan hantaran cantik daripada Juan Cuadrado dalam pertengahan babak kedua.

Kemenangan itu menyaksikan Juventus kini memintas Chelsea sebagai pendahulu Kumpulan H dengan enam mata selepas terdahulu menang 3-0 ke atas wakil Norway, Malmo pada 15 September lalu.

Skuad bimbingan Allegri itu akan menentang Torino dan AS Roma dalam saingan Serie A sebelum bertemu Zenit untuk aksi seterusnya Liga Juara-Juara bulan ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI