PETALING JAYA – Syarikat usaha sama antara BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) dan LPB Development Sdn. Bhd., BDB Lagenda Sdn. Bhd. (BDB Lagenda) bakal membangunkan perbandaran mampu milik yang dinamakan sebagai Darulaman Lagenda seluas 93 hektar di Sungai Petani dengan nilai pembangunan kasar RM550 juta.
Fasa pertama projek berkenaan melibatkan pembangunan seluas 11 hektar dengan penyediaan sebanyak 282 unit rumah setingkat dengan anggaran harga jualan antara RM180,000 dan RM250,000.
Pendaftaran bagi Fasa 1 akan dibuka pada November, dengan jangkaan bagi kerja-kerja pembinaan dimulakan pada suku kedua tahun 2022 dan mengambil masa selama dua tahun untuk siap.
Fasa seterusnya akan melibatkan pembangunan seluas 80 hektar dengan anggaran penyediaan 2,212 unit rumah mampu milik yang terdiri daripada rumah teres satu tingkat dan rumah kluster.
Setelah siap sepenuhnya, Darulaman Lagenda akan menyediakan anggaran sebanyak 2,500 unit rumah mampu milik yang dijangka akan menjadi pencetus kepada pembangunan perbandaran seumpamanya khususnya di Kedah.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad, Faris Najhan Hashim berkata, pihaknya cuba memenuhi permintaan terhadap rumah mampu milik, khususnya di kawasan Sungai Petani yang kini lebih tinggi berbanding penawaran.
“Kita masih berhadapan krisis pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan pasaran hartanah dan ketika ini, Kedah telah mencapai rekod lengkap vaksinasi sebanyak 56 peratus dan akan mencapai tahap imuniti kelompok yang disasarkan pada November.
“Secara amnya, kami menjangkakan lonjakan pasaran hartanah akan mula dirasai pada suku keempat tahun 2021 dengan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara.
“BDB Lagenda komited untuk membangunkan Darulaman Lagenda sebagai perbandaran mampu milik, yang akan menyediakan peluang kepada penduduk setempat terutama bagi pembeli rumah pertama untuk memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.