SERING kali media melaporkan kes-kes penipuan membabitkan kerugian besar yang perlu ditanggung oleh mangsa.
Ada dalam kalangan mereka yang kerugian ratusan ringgit, bahkan terdapat juga mangsa ditipu scammer sehingga kehilangan jutaan ringgit wang simpanan.
Bukannya kita tidak pernah dengar mengenai mangsa Macau Scam atau Love Scam, tetapi di mana silapnya sehingga ada sahaja individu yang menjadi mangsa.
Isu ini bukanlah suatu yang baharu, namun penipuan demi penipuan dilaporkan media menunjukkan masyarakat tidak pernah belajar daripada kesilapan dilakukan mangsa scam.
Bukan hanya warga emas ditipu, namun golongan terpelajar seperti jurutera dan doktor sekali pun bagaikan dipukau hingga sanggup melakukan transaksi tanpa syak wasangka.
Ceritanya tetap sama, setelah melakukan beberapa pemindahan wang kepada suatu akaun, baharulah mereka tersedar telah ditipu.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nasrudin Subhi berkata, satu faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah sifat impulsif seseorang.
Jelasnya, sifat tersebut menyebabkan mereka kurang sabar untuk memiliki barangan dikehendaki.
“Ia berkemungkinan memang boleh berlaku terutamanya jika kita ada sifat impulsif. Maknanya apabila berasa mahukan sesuatu, mesti mahu mendapatkannya ketika itu juga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Memetik laporan jurnal ilmiah terbitan Sage Journals, dikatakan terdapat ribuan jenis scam yang telah direkodkan sehingga ke hari ini.
Katanya, berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap lebih 580 jenis scam pula, kepercayaan ditunjukkan mangsa terhadap si penipu memainkan peranan penting dalam suatu kes.
Katanya, penipu perlu membina hubungan emosi dengan mangsa, kerana kepercayaan yang dibina itu akan diterjemahkan dalam bentuk urus niaga jual beli.
“Kepercayaan dibina itu juga penting kerana scammer perlu memastikan mangsa sanggup mendedahkan butiran peribadi, menyalurkan wang, menyimpan rahsia tentang aktiviti tersebut serta tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Pakar Psikologi dari Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, mangsa yang menjadi mangsa scam biasanya mengetepikan kemungkinan mereka sedang ditipu.
Jelasnya, ia kerana kebiasaannya seseorang itu telah mengenal pasti modus operandi suatu scam, namun tidak memikirkan bahawa suatu penipuan itu mempunyai pelbagai kaedah.
“Berlakunya perkara ini kerana mereka telah kenal pasti modus operandi scam terdahulu dari berita-berita sedangkan ia (kaedah scam) berbeza-beza.
“Minda manusia mempunyai pengecaman pola sesuatu insiden yang signifikan, jadi mereka tidak akan memeriksa kemungkinan pola lain itu wujud,” katanya.
Justeru, katanya, keyakinan tinggi mereka terhadap perkara yang boleh memberi pulangan seperti dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain membuatkan mereka cuai.
“Kelazimannya, wanita mudah terpedaya berbanding lelaki tetapi dalam hal tertentu, lelaki tidak kurang juga senang diperdayakan,” katanya -K! ONLINE