fbpx

APMM cekup 19 nelayan Vietnam tangkap ikan secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUN DALILAH (kanan) menyoal siasat nelayan Vietnam yang ditahan di Jeti Operasi APMM Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan seramai 19 orang nelayan warga Vietnam ketika mereka sedang menangkap ikan secara haram dengan dua buah bot di 211 kilometer dan 213 kilometer dari Kuala Tok Bali di sini Selasa lalu.

Dalam tangkapan pada pukul 6.45 hingga 7.09 petang itu, APMM turut merampas sebanyak 500 kilogram pelbagai jenis ikan yang telah ditangkap oleh mereka.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, kedua-dua bot nelayan itu berjaya dipintas Kapal Maritim Tok Bali yang menjalankan Ops Kuda Laut kira-kira 25 kilometer dari sempadan perairan negara Vietnam.

Menurutnya, bot-bot itu cuba untuk meloloskan diri dengan memasuki semula ke perairan negara mereka ketika kapal APMM mengejar mereka, namun gagal.

“Pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati ia dikemudi oleh seorang tekong dan dua awak-awak manakala bot kedua pula dinaiki 15 orang awak-awak dan seorang tekong.

“Selain itu, kita juga mendapati nelayan berusia 14 hingga 48 tahun itu tidak memiliki permit menangkap ikan selain tiada dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Operasi APMM Kelantan di sini hari ini.

Menurut Khairun Dalilah, berdasarkan siasatan, kedua-dua buah bot itu sudah beberapa hari menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

Ujarnya, APMM mengambil masa selama 40 jam untuk membawa pulang suspek apabila salah sebuah bot mereka mengalami kerosakan ketika dalam perjalanan pulang ke jeti selain perlu membelah ombak setinggi 2.5 meter, hujan lebat dan tiupan angin mencecah 40 kilometer sejam.

“Nilai rampasan termasuk bot, hasil tangkapan ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan RM3 juta. Kesemua nelayan warga Vietnam itu akan dihantar pulang ke negara mereka mengikut proses perundangan.

“Kes disiasat meengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16(3) akta sama,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI