GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang meningkatkan pemantauan dan menambah anggota bagi memastikan pengunjung yang memasuki lokasi pelancongan serta tempat tumpuan ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sebanyak 86 pasukan pemantau yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama penguatkuasa lain menjalankan tugas itu di lokasi-lokasi tumpuan ramai pada setiap hari.
“Kita menjangka akan berlaku peningkatan jumlah pengunjung selepas lebih banyak tempat dibuka. Jadi, kita tingkatkan anggota untuk memantau SOP.
“Pasukan ini akan kunjungi semua premis-premis yang mana kita sudah buat secara tidak langsung bersama dengan pihak majlis (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) sebelum ini,” katanya selepas meninjau SOP di Shangri-La’s Rasa Sayang Resort & Spa di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, pihaknya tidak akan menempatkan anggota polis di kawasan hotel atau lokasi pelancongan, namun pemantauan secara berkala akan dilakukan.
Dalam perkembangan berbeza, Mohd. Shuhaily berkata, seramai 62 anggota polis telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh dua minggu lalu dengan kira-kira 108 anggota menjalani kuarantin.
“Punca jangkitan dalam kalangan anggota adalah disebabkan pelbagai faktor, ada yang mendapatnya daripada ahli keluarga dan lain-lain faktor.
“Semalam adalah pertama kalinya dalam sebulan tidak ada sebarang kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota kami,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929