PETALING JAYA- Sebanyak sembilan negeri termasuk Sabah dan Sarawak menerima amaran ribut petir dan hujan lebat sehingga pukul 5 petang nanti sekali gus berisiko dilanda banjir seperti yang berlaku di beberapa kawasan semalam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, amaran ribut petir itu turut melibatkan negeri di Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Pahang.
“Di Perak, kawasan terlibat meliputi Kinta dan Kampar manakala Kelantan (Jeli) serta Pahang (Cameron Highlands, Lipis dan Raub).
“Bagi negeri Johor pula, kawasan yang menerima amaran berkenaan melibatkan Mersing, Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya sebentar tadi.
Sementara itu, beberapa kawasan di Sarawak antaranya Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Mukah dan Kapit turut berdepan situasi sama.
Di Sabah pula, kawasan terlibat antaranya Tawau, Pantai Barat, Sandakan serta Kudat.
Pagi tadi, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran sama di beberapa negeri seperti di Kedah dan Sarawak.
Amaran hujan lebat berterusan dikeluarkan di negeri Sarawak di mana ia diramal berlaku bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang nanti. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929