PETALING JAYA – Program realiti pertama secara dalam talian terbitan syarikat rakaman COF Music iaitu COF LOCKSTAR bakal melabuhkan tirai menerusi peringkat akhir pada 2 Oktober, jam 9 malam di saluran YouTube COF Music.
Enam finalis berentap bagi merebut gelaran Juara COF LOCKSTAR, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM50,000 yang mana merangkumi wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.
Tempat kedua akan membawa pulang RM5,555 berserta trofi manakala pemenang tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi.
Sementara itu turut disediakan dua kategori iaitu ‘Most Creative’ dan ‘Most Viewers’ yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.
Enam peserta akhir terdiri daripada Azumi, Jiha Akhir, Ryan Razali, Yusuf Kassim, Zee Rahmat dan kumpulan Banyak Bunyik Republik.
Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata, COF LOCKSTAR yang bermatlamat melahirkan penyanyi baharu yang bersandarkan pada bakat akhirnya dapat dicapai berdasarkan kualiti enam finalis itu.
“Semua finalis ada kelebihan masing-masing. Malah, mereka juga daripada genre berbeza. Sebagai contoh, macam Zee Rahmat dia ada gaya tersendiri yang mana lebih pada R&B. Kalau Ryan pula rapper. Begitu juga band yang mengetengahkan muzik yang unik. Ketiga mereka ini beri persaingan hebat.
“Dari minggu pertama hingga empat, produksi sudah memberikan pelbagai genre lagu kepada mereka. Jadi, untuk pentas akhir ini mereka bakal mempersembahkan satu lagu nyanyian semula atau ‘cover version’ dan satu lagu baru yang diciptakan khas buat mereka.
Untuk ‘final’, kita sudah rakam persembahan dengan iringan ‘live band’. Kita nak tahu sejauh mana kemampuan mereka membuat persembahan secara ‘live band’. Komen juri dan keputusan saja dibuat secara langsung.
“Berdasarkan persembahan mereka sepanjang empat minggu lalu sehingga layak ke pentas akhir, saya berasakan mereka sudah bersedia masuk pasaran muzik tempatan. Kesemua fnalis ini ada kelebihan mereka jika masuk industri. Kita sudah nampak hala tuju muzik mereka nanti. Pendek kata, mereka ada potensi besar untuk menyerlah.
“Mereka antara daripada 2,000 peserta yang hebat. Sebagai label perlu ketengahkan bakat mereka Sebagai pelapis dalam industri,” katanya.
Aman berkata, single baharu yang dipersembahkan pada peringkat akhir nanti bakal dirakamkan semula dalam versi studio bagi tujuan pasaran komersial dan promosi.
“Lagu baharu yang dinyanyikan pada pentas akhir adalah single mereka. Untuk pasaran komersial dan promosi pula akan menjalani rakaman. Sebab untuk akhir ini saja mereka kena menyanyikannya secara langsung dengan band. Mereka bertuah apabila ‘live band’ diiringi oleh beberapa individu hebat dalam bidang muzik. Semua memberikan kerjasama baik.
“Setakat ini kita masih kekal dengan perancangan untuk menjadikan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga sebagai artis COF Music. Untuk yang lain pula akan dibincangkan kemudian. Kalau ada perancangan itu kita akan ambil mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Aman optimis untuk meneruskan COF LOCKSTAR pada musim kedua selain menerbitkannya di beberapa negara lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
“Musim pertama ini kita mendapat maklum balas yang bagus. Jadi, musim kedua akan diteruskan tahun depan. Dengan adanya program ini ramai bakat baru nak tonjolkan diri. Sebab ramai terlepas nak masuk. Mereka mahu menjadikan program ini sebagai platform mereka. Insya-Allah, kalau ada stesen televisyen atau pihak lain sebagai contoh platform OTT yang ingin bekerjasama, saya okey saja.
“Cuma, apa saya harapkan memang nak buat COF LOCKSTAR versi Indonesia. Sekarang ini dalam proses ke arah itu. Jika semua berjalan lancar, insya-Allah akan berlangsung tahun depan. Selain itu, saya juga menyasarkan nak kerjasama dengan beberapa negara lagi seperti Singapura, Thailand dan Brunei. Kiranya, kalau dapat semua ini, musim akan datang kita nak ‘live stream’ dengan semua negara ini dalam menjayakan COF LOCKSTAR,” katanya. – K! ONLINE