PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 350 aduan berkaitan penjualan barangan terkawal melebihi harga ditetapkan di seluruh negara setakat 29 September lalu.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, aduan paling tinggi membabitkan minyak masak dengan 172 aduan diikuti, gas petroleum cecair (172), gula (28), kit ujian Covid-19 (17), pelitup muka (11) dan tepung (11).
Beliau berkata, susulan itu, sebanyak 162 kertas siasatan telah dibuka atas kesalahan peniaga gagal mengikut harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Penguat kuasa KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melanggari garis panduan dan syarat serta harga.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Azman berkata, kementerian juga berharap kepada semua peniaga di semua premis perniagaan termasuk perniagaan atas talian supaya mengikuti semua garis panduan dan syarat termasuk menjual pada harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929