SELEPAS kerajaan memperkenalkan projek perintis gelembung pelancongan di Langkawi pada
16 September lalu, ramai yang mula merancang percutian ke pulau legenda di Kedah itu.
Menerusi projek perintis tersebut, individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 telah dibenarkan bercuti di Langkawi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Pemilihan Langkawi sebagai projek perintis itu dianggap tepat memandangkan pulau tersebut memiliki
pemandangan pantai yang indah dengan pasir memutih serta laut membiru.
Selain itu, pulau berkenaan memiliki pelbagai tarikan lain seperti monumen
burung helang gergasi, kereta kabel, taman burung dan Kilim Geoforest Park.
Bagaimanapun, ramai tidak menyedari Langkawi yang terbentuk daripada 99 buah pulau tropika itu juga
mempunyai sebuah ‘permata’ yang cukup bernilai di sebelah barat daya.
Permata dikenali sebagai Pulau Tuba itu merupakan sebuah lokasi percutian yang sarat dengan pelbagai tarikan istimewa buat para pelancong.
Salah satu tarikan di pulau yang dihuni 5,000 penduduk itu adalah tempat penginapan dikenali sebagai
tebin’Tuba yang menawarkan konsep yang jarang diterapkan.
Pemiliknya, Ahmad Nazri Baharom, 55, berkata, tebin’Tuba merupakan tempat penginapan yang berkonsepkan tinggal bersama alam (stay with nature).
“Tempat penginapan ini mula dibuka secara rasmi pada Januari tahun lalu. Selepas dibuka, ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutamanya daripada penggemar alam semula jadi.
“Penginapan di sini sangat unik kerana terletak di tepi bukit, tepi laut dan tebing lautan. Satu-satunya cara masuk ke sini adalah menggunakan bot,” katanya kepada Horizon.
Ahmad Nazri memaklumkan, tempat penginapannya mempunyai dua buah chalet yang masing-masing boleh memuatkan antara tiga hingga empat orang.
Selain chalet, katanya, tebin’Tuba turut dilengkapi dengan sebuah rumah loteng yang mampu memuatkan seramai tiga orang pada satu-satu masa serta dapur untuk memasak.
“Ketiga-tiga penginapan di sini hanya dilengkapi dengan sebuah katil bersaiz queen dan tempat duduk. Televisyen dan pendingin hawa tidak ada.
“Kami mahu pengujung merasai sendiri keseronokan tinggal di Pulau Tuba dengan melihat alam semula jadi sambil menghirup udara segar tepi laut,” katanya.
Pakej penginapan di tebin’Tuba bermula pada harga RM150 semalam termasuk sarapan pagi.
Disebabkan kesukaran untuk keluar mencari makanan di luar, pengunjung disaran mengambil pakej lengkap termasuk makan tengah hari dan malam yang harganya RM220 semalam.
“Biasanya, makanan tengah hari dan malam akan disajikan berasaskan makanan laut segar kerana harga di sini sangat murah berbanding di tempat lain.
“Lazimnya, apabila nelayan pulang ke jeti, saya akan panggil mereka singgah
di rumah loteng untuk membeli hasil tangkapan mereka mengikut kehendak pengunjung,” tegasnya.
Cara utama untuk akses ke sini adalah melalui Jeti Kuah menuju ke Jeti Baru Pulau Tuba dengan menaiki bot kecil selama 20 minit pada jarak sekitar 5 kilometer.
Dalam pada itu, Ahmad Nasri berkata, pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan pengunjung di tebin’Tuba antaranya memancing dan barbeku pada sebelah malam.
Dia menambah, pengunjung juga boleh menjelajah Pulau Tuba dengan motosikal atau basikal sambil
menikmati panorama indah dan melihat kehidupan masyarakat setempat.
“Uniknya pulau ini, kehidupan masyarakatnya masih lagi mengamalkan gaya hidup tradisional dan
kebanyakannya bekerja sebagai nelayan serta pekerja hotel di Langkawi.
“Di Pulau Tuba, pengunjung boleh melihat burung helang berterbangan,
kerbau liar berkeliaran, sawah padi serta menjelajah gua dan hutan,” ujarnya.
Buat masa ini, tebin’Tuba masih ditutup untuk tempahan pengunjung dan hanya akan dibuka kembali pada pertengahan Oktober bagi menyiapkan kerja-kerja penyelenggaraan.