PETALING JAYA – Aktor Indonesia, Deva Mahendra mendedahkan pengalaman mengendalikan pesawat tempur dalam filem terbaru yang dibintanginya, Serigala Langit adalah antara momen yang akan menjadi kenangan manis buat dirinya sebagai seorang anak seni.
Menurut Deva, meskipun sukar lantaran dia tidak mempunyai sebarang kemahiran asas dalam bidang penerbangan namun berbangga kerana sekurang-kurangnya usaha itu dapat dilakukan dengan baik.
“Pengalaman itu sangat hebat, kami memang tiada bimbingan khusus semasa menggalas tanggungjawab tersebut dan semua orang tahu, bukan senang nak kendalikan sebuah pesawat apa lagi pesawat tempur.
“Bayangkan, tanpa bimbingan khusus tetapi saya mencuba juga dengan sehabis baik untuk merealisasikan watak tersebut. Bukan cuma saya, tetapi perasaan yang sama juga mungkin dirasai oleh pelakon-pelakon lain.
“Tetapi kami semua sangat bersyukur kerana kru produksi dan tenaga pengajar yang disediakan sangat membantu dan tidak lokek ilmu,” katanya.
Memegang watak Gadhing Baskara, antara cabaran lain yang dirasakan agak sukar bagi pelakon berusia 30 tahun itu adalah waktu persiapan yang singkat.
“Kami diberikan kelas sewaktu penggambaran sahaja. Kita juga perlu persiapan fizikal dan mental yang tinggi. Hendak terbang dengan pesawat tempur ini kena ada ilmu.
“Tapi dengan bimbingan tenaga pengajar, kami berjaya melakonkan watak masing-masing dengan mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Deva juga belajar untuk lebih mencintai diri sendiri dan berterima kasih kepada kru produksi yang banyak membantu para pelakon menjayakan penggambaran filem tersebut.
“Kerjasama luar biasa daripada kru produksi Serigala Langit ini. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kami berjaya melakukan segalanya dengan maksima.
“Banyak juga pengalaman menarik dan berharga sepanjang penggambaran. Kami belajar untuk lebih menghargai diri sendiri dan mencintai bangsa serta negara kita,” katanya.
Selain Deva, filem Serigala Langit yang turut menampilkan pelakon Yoshi Sudarso, Dian Sidik dan Anya Geraldine itu bakal ditayangkan menerusi Astro First bermula 25 September lalu.
Difahamkan, filem arahan Reka Wijaya itu juga mendapat respons positif selepas ditayangkan di negara republik itu dengan mendapat kerjasama Horizon Filem Entertainment untuk tayangan Malaysia.
Serigala Langit mengisahkan kehidupan Gading Baskara, seorang juruterbang udara di Skuad 10 – Serigala Langit yang kemudian ditugaskan untuk menjaga seorang ejen.
Dia bagaimanapun berdepan kesukaran dan harus memperjudikan nyawa sendiri saat menumpaskan musuh yang penuh muslihat. – KOSMO! ONLINE