SHAH ALAM – Kerajaan negeri menegaskan tidak dilibatkan secara langsung dan menyeluruh dalam pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL 2).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, pengurusan projek adalah dilaksanakan sepenuhnya oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang merupakan sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
Katanya, kerajaan negeri hanya terlibat di dalam perkara berkaitan dengan tanah tapak projek dan permit yang dikeluarkan oleh agensi teknikal negeri.
“Secara amnya, pengauditan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara adalah baik bagi menyedarkan semua pihak tentang kepentingan pengurusan sesuatu projek terutamanya projek mega.
“Kegagalan di dalam pengurusan projek boleh menyebabkan matlamat pelaksanaan sesuatu projek tidak dapat dicapai dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 tentang pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan projek LRAL 2 yang belum mencapai objektif yang disasarkan.
Izham memberitahu, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif dengan peruntukkan kewangan negeri bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan LRA Labohan Dagang bagi menampung kekurangan bekalan air akibat dari kelewatan penyiapan LRAL 2. -K! ONLINE