KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan pelajar, ibu bapa, guru dan tenaga pengajar yang ingin membuat pergerakan rentas negeri agar menyediakan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) atau sekolah atau institusi pendidikan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, surat pengesahan tersebut untuk dikemukakan kepada petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi melancarkan pergerakan mereka.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan harian ke sekolah atau institusi pendidikan termasuk kemasukan pelajar ke asrama yang melibatkan pergerakan rentas negeri.
“Antara SOP yang telah dikemas kini ialah murid atau pelajar yang terlibat dibenarkan merentas negeri untuk ke sekolah atau institusi pendidikan dengan menggunakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah atau institusi pendidikan.
“Pergerakan pergi dan balik ke sekolah atau institusi pendidikan bagi murid atau pelajar yang terlibat boleh ditemani seorang penjaga.
“Pergerakan guru atau tenaga pengajar ke sekolah atau institusi pendidikan untuk merentas negeri bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dibenarkan dengan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah atau institusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, SOP berkaitan kawalan pergerakan murid atau pelajar kembali ke asrama turut dikemas kini.
“Pergerakan bagi kemasukan murid atau pelajar ke asrama adalah dibenarkan dengan menggunakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah atau institusi pendidikan untuk tujuan merentas negeri.
“Oleh yang demikian, PDRM menasihatkan pelajar, ibu bapa, guru dan tenaga pengajar yang ingin merentas negeri bagi tujuan ini agar menyediakan surat pengesahan bagi memudahkan pergerakan,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929