PETALING JAYA – Mungkin dia terlelap atau ‘microsleep’ sehingga motosikal hilang kawalan semasa melalui selekoh.
Itu antara reaksi pengguna apabila menonton satu klip video kejadian kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dipercayai penghantar makanan (rider) yang dikongsi di laman Facebook Yu KH.
Kejadian yang berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) itu dipercayai berlaku di sebuah kawasan di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan petang semalam.
Menerusi klip video berdurasi satu minit 3 saat itu memaparkan seorang rider telah melanggar belakang sebuah Perodua Myvi yang berada di tepi jalan berdekatan selekoh.
Impak dari pelanggaran itu, lelaki berkenaan melambung dari motosikalnya dan dipercayai mengalami beberapa kecederaan.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai reaksi yang mengaitkan kemalangan itu dengan kejadian ‘microsleep’.
“Aku pernah kena masa balik sekolah, masa tu penat sangat balik dari sekolah kena pula cuaca panas.
Aku rasa tak smpai dua saat pejam mata sekali buka mata dah nak masok longkang ape lagi tak sempat buat apa-apa terjun,” kongsi Mohd Haris.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Nasrulhaq Salehan.
“Tetidur ni, rider-rider mesti faham, aku pun pernah langgar bontot kereta. Nasib tidak ada apa-apa, terlelap beberapa saat je,” katanya.-K! ONLINE