GEORGE TOWN – Polis telah menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dikatakan melanggar perintah kuarantin kendiri baru-baru ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang untuk arahan lanjut.
“Sehingga kini kertas siasatan masih belum mendapat sebarang arahan dari Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang.
“Siasatan berhubung kes ini dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa ahli parti politik antaranya Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.
Bagaimananapun, Bekas Menteri Kewangan itu menerusi kenyataan telah menyangkal dakwaan bahawa beliau melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.
Menurut Mohd. Shuhaily, pihak polis telah merekodkan keterangan seramai 11 orang saksi termasuk Ahli Parlimen Bagan itu dan pihak Kementerian Kesihatan. – K! ONLINE