fbpx

Penarik kereta menangis didenda RM4,000 tipu tarik kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamalanathan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini

SHAH ALAM – Seorang penarik kereta menangis teresak-esak apabila didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pilihan menipu seorang lelaki sebanyak RM600 berhubung penarikan kereta daripada pihak bank, Mei lalu.

Hukuman denda itu dijatuhi Hakim Rozilah Salleh terhadap tertuduh, R. Kamalanathan, 40, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan selesai dibacakan kepadanya.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dihukum penjara enam bulan.

Rozilah dalam penghakimannya menasihati tertuduh agar ini adalah kali pertama dan terakhir dia melakukan perkara sedemikian.

“Walaupun RM600 atau RM1, tetap salah. Datang ke mahkamah (sebagai tertuduh) pun satu (perkara) memalukan diri dan keluarga.

“Kita hendak hidup biar tenang. Bila jadi macam ini, hendak tidur pun tidak tenang,” tegasnya.

Mengikut pertuduhan pilihan, bapa kepada dua orang itu telah memperdayakan seorang lelaki berusia 26 tahun untuk menyerahkan RM600 dengan mempercayai kereta jenis Proton Iriz atas nama adik lelaki tersebut akan ditarik pihak bank.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Stesen, Klang dekat sini pada 24 Mei lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika melakukan rayuan juga didapati menangis dengan menyatakan perlu menanggung bapanya berusia 70 tahun yang baharu melakukan pembedahan pintasan jantung dan ibunya berusia 62 tahun merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Saya juga mempunyai dua orang anak berusia 8 dan 10 tahun serta seorang isteri dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini. Saya mohon maaf sangat-sangat,” jelasnya.

Bagaimanapun, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shahruzaman memohon hukuman setimpal sebagai pencegahan dan pengajaran berikutan rasuah adalah kesalahan serius dan boleh menjadi ‘barah’ dalam kehidupan ini. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI