ANKARA, Turki – Seorang lelaki mabuk secara tidak sengaja menyertai pasukan mencari dan menyelamat dirinya sendiri selepas dia dilaporkan hilang oleh keluarganya, lapor sebuah portal berita baru-baru ini.
Beyhan Mutlu, 50, keluar melepak bersama kawan-kawan sebelum keluarganya gagal menghubungi lelaki itu beberapa jam kemudian.
Mutlu yang berasal dari wilayah Bursa, utara Turki dilaporkan mabuk dan merayau-rayau di dalam hutan berdekatan hingga gagal dikesan oleh rakan-rakannya.
Polis kemudian menubuhkan sebuah pasukan mencari dan menyelamat bagi menjejaki Mutlu dengan bantuan penduduk setempat.
Tanpa disedari, Mutlu turut berada dalam kumpulan tersebut dan masih tidak menyedari bahawa mereka sedang mencarinya.
Apabila anggota kumpulan mula memanggil namanya, Mutlu dengan pantas menyahut panggilan itu.
“Saya di sini,” sahutnya tanpa rasa bersalah.
Pihak berkuasa menghentikan operasi pencarian serta merta, mengambil keterangan Mutlu dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga. – Agensi