SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang ditemui mati di sebuah pusat rawatan dan pemulihan psikiatri swasta di Tikam Batu dekat sini kelmarin disahkan positif Covid-19.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu oleh pengasas pusat rawatan tersebut.
Mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia oleh pihak hospital Sungai Petani.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil ujian saringan Covid-19 mendapati mangsa positif Covid-19.
“Hasil bedah siasat juga mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat seorang lagi penghuni yang meninggal dunia semalam.
Kosmo! Online hari ini melaporkan dua penghuni sebuah pusat rawatan dan pemulihan psikiatri swasta di Tikam Batu dekat sini dilaporkan meninggal dunia selang sehari selepas mereka ditemui tidak sedarkan diri di pusat tersebut pada semalam dan kelmarin. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929