ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan D Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menentang PJ City FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain sayap, Gonzalo Cabrera pada babak pertama menerusi rembatan deras jarak jauh untuk memberikan tiga mata kepada skuad Harimau Selatan.
Skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk merobek kubu lawan apabila berjaya menghasilkan jaringan pada minit ketiga menerusi rembatan Cabrera menerjah penjuru kanan gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri, JDT dilihat lebih selesa menguasai permainan manakala pasukan pelawat pula lebih banyak bermain di kawasan sendiri dan menunggu peluang untuk melakukan serangan balas.
Percubaan demi percubaan terus dilancarkan skuad Harimau Selatan hingga minit akhir namun gagal menambah jaringan dan keputusan kekal ke wisel penamat.
Kemenangan tersebut meletakkan JDT sebagai pendahulu Kumpulan D dengan mengutip enam mata dalam dua perlawanan.
Dalam perlawanan lain Kumpulan D, Sabah FC dan Kelantan FC berkongsi mata selepas perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929