NYON, Switzerland – Juara Euro 2020, Itali dijadual berdepan pemenang Copa America 2021, Argentina dalam satu perlawanan persahabatan yang akan berlangsung pada Jun tahun hadapan.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dilaporkan sudah menyatakan persetujuan dan perlawanan itu dilangsungkan sebagai tanda komitmen untuk membangunkan bola sepak rentas benua.
Bagaimanapun, UEFA dalam satu kenyataan mengakui bahawa venue pertandingan masih belum dapat disahkan setakat ini.
“UEFA dan CONMEBOL mengumumkan bahawa penganjuran perlawanan ini akan dijalankan melibatkan Itali yang merupakan juara Euro 2020 menentang Argentina yang memenangi saingan Copa America 2021 lalu.
“Perlawanan ini akan berlangsung selepas semua saingan liga domestik berakhir iaitu sekitar Jun tahun hadapan tetapi stadium yang menjadi tempat aksi tersebut akan dilangsungkan masih belum dapat diputuskan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, penganjuran perlawanan tersebut hanyalah sebahagian daripada jalinan kerjasama antara UEFA dan CONMEBOL kerana banyak lagi program yang akan dijalankan untuk memperkasakan matlamat utama dalam memajukan bola sepak.
“Ia nanti turut melibatkan bola sepak wanita, futsal dan kejohanan peringkat bawah umur selain program pertukaran pengadil serta skim latihan teknikal yang akan dianjurkan bersama.
“Perjanjian ini juga akan melibatkan tiga edisi termasuk dua juara Euro dan Copa America selepas ini selain kedua-dua pihak bersetuju untuk membuka sebuah pejabat di London yang akan mengkoordinasikan semua program yang telah dirancang.
“Kesepakatan ini juga menandakan bahawa UEFA dan CONMEBOL sangat komited dalam proses pembangunan bola sepak melangkaui geografi serta menjadi jambatan perpaduan melibatkan negara, benua dan budaya,” jelasnya. – AGENSI