SUNGAI PETANI – Dua penghuni sebuah pusat rawatan dan pemulihan psikiatri swasta di Tikam Batu dekat sini dilaporkan meninggal dunia selang sehari selepas mereka ditemui tidak sedarkan diri di pusat tersebut pada semalam dan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menerima dua laporan mengenai kematian mengejut membabitkan penghuni lelaki berusia 25 dan 20 tahun dari pihak pusat rawatan tersebut.
“Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh petugas pusat rawatan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, laporan pertama diterima pada pukul 10.32 malam kelmarin membabitkan mangsa berusia 25 tahun dan berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.
“Hasil temu bual dengan pengasas pusat rawatan tersebut mendapati kejadian berlaku pada pukul 8.20 malam ketika mangsa baru selesai makan malam dan sedang berbaring di ruang tamu.
“Dia kemudian mengejutkan mangsa untuk makan ubat tetapi tiada tindak balas sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pihak hospital,” ujarnya.
Menurut Adzli, laporan kedua pula diterima pada pukul 3.51 petang semalam membabitkan mangsa berusia 20 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 1.05 tengah hari apabila mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital Sungai Petani,” katanya. -K! ONLINE