PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyediakan dana untuk Rumah Mampu Milik dan Skim Perumahan Belia bagi membiayai pembelian rumah pertama di bawah program Rent to Own (RTO).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, program RTO itu akan diperluaskan merangkumi rumah berharga sehingga RM500,000.
Menurutnya, bagi tujuan itu, KPKT akan menggembleng kerjasama daripada semua pihak termasuklah agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pemain industri untuk bersama-sama mencapai matlamat itu.
“Dalam konteks ini, kementerian sedang dalam kajian untuk menubuhkan National Housing Corporation (NHC) yang akan berperanan sebagai peneraju pembangunan perumahan secara bersepadu,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Reezal berkata, bagi menjayakan matlamat Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12) KPKT telah menggariskan bidang-bidang keutamaan yang menyentuh fungsi dan peranan kementerian. -K! ONLINE