Kelonggaran kepada beberapa negeri ‘panas’ seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya keluar dari sekatan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, bermacam kejadian yang berlaku.
Antaranya sudah tentu tindakan orang ramai yang menyerbu tempat-tempat percutian dan riadah sehingga lokasi berkenaan padat dengan pengunjung.
Situasi berkenaan sekali gus menyebabkan ramai yang tidak berpuas hati dan meluahkan rasa marah gara-gara sikap tidak bertanggungjawab pengunjung yang seakan lupa bahawa kita masih lagi dibelenggu virus bahaya.
Jangankan tempat percutian dan riadah, kedai-kedai makan misalnya turut dipenuhi dengan pelanggan lebih-lebih lagi lokasi popular di sesebuah kawasan.
Memahami dari sudut pandang pengunjung, berbulan-bulan terkurung di rumah pastinya memberi tekanan terhadap dalaman mereka, maka sebab itulah mereka melakukan aktiviti di luar selepas diberi kelonggaran.
Seperti contoh pelakon genit sensasi Nora Danish yang menjadi selebriti terawal yang bercuti keluar dari kawasan Lembah Klang selepas terbang ke Pulau Langkawi pada 16 September lalu.
Ironi, pelakon berusia 39 tahun itu pernah menjadi mangsa jangkitan Covid-19 sekitar Mei lalu, namun semua itu tidak menghalang keghairahan dan keinginannya untuk keluar bercuti.
Dia juga mengakui, biarpun terasa seperti dijadikan tikus makmal, namun keadaan semasa negara yang beralih ke fasa endemik iaitu membawa maksud kita akan kekal hidup dalam persekitaran wujudnya Covid-19 di mana-mana, tetap tidak menerbitkan rasa kurang senang untuknya pergi bercuti.
“Alhamdulillah, kami sebagai tikus makmal rasa bertuah. Semoga dapat lagi ke tempat pelancongan lain yang dibuka, Insya-Allah. Doa yang baik-baik,” katanya.
‘Ketegasan’ Nora adalah pilihannya sendiri. Keluar bercuti walaupun ada sesetengah daripada kita masih lagi dibelenggu rasa bimbang dan takut untuk pergi melancong.
Pahit tapi harus ditelan dalam-dalam, terimalah hakikat bahawa kehidupan yang kita jalani sekarang sudah ditambah satu beban baharu bernama Covid-19.
Takut, gusar atau gelisah, perasaan sebegitu pasti ada sementelah musuh kita adalah yang tidak terlihat dengan mata kasar. Dia pembunuh senyap, datang tanpa menyapa.
Cuma sebagai seorang rakyat, masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, jadilah manusia yang berakal dalam melindungi diri dan orang sekeliling daripada bahaya Covid-19.
Sifir hidup kita sekarang atau mungkin 10 tahun akan datang cukup mudah, jaga SOP, pakai sentiasa pelitup muka, gunakan cecair pembasmi kuman, kerap mencuci tangan, jaga jarak, elak bersentuhan dan tempat sesak.
Semua itu sudah kita praktikkan sejak hampir dua tahun lalu. Jadi mengapa kita tidak meneruskan momentum tersebut setiap hari di mana jua demi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa Covid-19 yang seterusnya.
Sementara itu, seorang anggota polis bantuan, Rosni Amani Amin, 36, meskipun tinggal di negeri yang sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu Selangor, namun dia kekal berhati-hati dengan memilih jarang keluar rumah.
Apatah lagi memikirkan dua orang anaknya yang masih kecil serta faktor persekitaran kerjanya di lapangan terbang yang terdedah dengan ramai orang setiap hari memberi risiko tinggi.
“Walaupun kita sudah diberi kelonggaran untuk bercuti dan merentas daerah bagi negeri Fasa 2 PPN contohnya, tetapi saya tetap memilih untuk tidak terburu-buru keluar melancong.
“Saya masih bersabar dengan menanti waktu terbaik untuk membawa anak-anak bercuti. Tapi yang penting, bukan sekarang sebab keadaan di luar masih menakutkan,” ujarnya.