PETALING JAYA – Hanya sempat bergelar bapa selama tiga hari, penyanyi Azmi Saat dan isteri, Nazira Muhammad reda selepas bayi sulung mereka disahkan meninggal dunia sebentar tadi.
Berita duka itu dikongsikan sendiri Azmi atau nama lengkapnya Khairul Azmi Mohd. Saat, 34, menerusi hantaran terkini dalam Instagram miliknya.
“Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga ya,” luah Azmi.
Terdahulu, belum pun seminggu menyambut kelahiran anak sulung selepas penantian selama 10 tahun, penyanyi Azmi dan Nazira teruji dengan masalah kesihatan anak mereka Khairul Afnan dilaporkan mengalami masalah fungsi otak.
Ujar vokalis Caliph Buskers itu, Afnan terpaksa dipakaikan alat bantuan pernafasan sejak hari pertama dilahirkan pada 27 September lalu selepas doktor mengesyaki otak bayi itu tidak berfungsi kerana dia tidak bergerak.
Ikutkan perancangan, doktor sepatutnya melakukan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk melihat keadaan otak bayi itu, namun perancangan Tuhan mengatasi segala-galanya.– K! ONLINE