PETALING JAYA – Selepas terpalih dengan pelbagai isu serta kontroversi sebelum ini, bekas anggota kumpulan nasyid, Suhaimi Saad sekali lagi mencuri tumpuan pengguna laman sosial apabila berkongsi kisahnya yang bebas ke mana-mana tanpa divaksin.
Menerusi satu perkongsian di laman Twitter, seorang pengguna dikenali sebagai @ketengahketepi telah berkongsi satu perbualan antara Suhaimi dan pengikutnya di laman TikTok.
Menerusi perbualan itu, seorang pengikutnya telah bertanya kepada Suhaimi sama ada dia dan isterinya sudah mengambil vaksin.
Tetapi, Suhaimi membalas pertanyaaan itu dengan memaklumkan dia dan keluarganya bebas ke mana-mana kedai tanpa perlu menunjukkan kad vaksinasi.
“Setakat ini kami pergi mana-mana kedai tak ada pula yang minta kad vaksinasi, hanya scan MySejahtera sahaja, Alhamdulilah, Allah permudahkan,” jawab Suhaimi kepada salah seorang pengikutnya di laman TikTok.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna Twitter menggesa semua peniaga dan pemilik premis supaya melakukan pemeriksaan lebih ketat kepada pelanggan mereka.
“Harap harap semua kedai tolong la check dulu sebelum bagi customer masuk. Tak pasal pasal anti vaksin terlepas masuk kedai,” ciap @ketengahketepi.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna Twitter dikenali sebagai @homeyn18.
“Aku gi kedai makan ‘dine in’, dorang tak minta sijil vaksin pon weh. Aku pun pelik gak, tapi tu la realiti,”katanya.
Senada dengan @homeyn18 adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Lan_Aziz.
“Kedai mamak area Kota Damansara, Subang Bestari, kedai roti Jalan Kerinchi semua tak periksa. Orang scan tak scan @my_sejahtera pun tak ada sapa peduli, keluar masuk saja. Kalau yang masuk tu ‘fully vaccinated’ takpa la, kalau tak,” ujarnya.-K! ONLINE.