MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti seolah-olah tergamam selepas menyaksikan pasukannya tewas mengejut 1-2 kepada pendatang baharu Liga Juara-Juara, Sheriff Tiraspol di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Pada perlawanan saingan Kumpulan D itu, Sheriff berjaya meledak dua gol menerusi Jasurbek Yakhshiboev dan Sebastien Thill, manakala gol tuan rumah dijaringkan Karim Benzema melalui sepakan penalti.
Ancelotti seperti tidak percaya apabila Los Blancos tewas perlawanan tersebut biarpun melakukan 11 percubaan tepat ke arah pintu gol berbanding pasukan dari Moldova yang sekadar melakukan empat percubaan sepanjang permainan.
“Semuanya serba menjadi untuk mereka (Sheriff) pada hari ini (semalam) sementara kami tidak tahu apa yang berlaku kepada pasukan sehingga tewas mengejut di laman sendiri.
“Saya tidak risau, cuma sedih kerana tidak memanfaatkan setiap peluang yang terhidang. Semua pemain sudah tunjukkan komitmen yang tinggi tetapi penyudah sedikit tumpul pada perlawanan ini,” kata pengendali dari Itali itu.
Walaupun akur dengan kekalahan memalukan itu, namun beliau menegaskan, pasukannya tidak layak untuk tewas kerana menampilkan aksi lebih baik berbanding pasukan pelawat.
“Hanya sedikit kesilapan menyebabkan kami berputih mata untuk dapatkan tiga mata. Sudah tentu saya mahu semua pemain jadikan kekalahan ini sebagai pengajaran biarpun kami tidak patut tewas,” ujarnya. – AGENSI