KUANTAN – Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas tuduhan melakukan khianat menggunakan api sehingga memusnahkan sembilan lot bangunan kedai di kawasan perindustrian Padang Lalang di sini baru-baru ini.
Tertuduh, Yip Chee Hong, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat menggunakan api di Lorong 7 Industri Padang Lalang, dekat Kuantan, kira-kira pukul 5 pagi pada 11 September lalu.
Dalam kejadian kebakaran berkenaan menyebabkan sembilan lot bangunan kedai musnah dalam kebakaran terbabit.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Haizan manakala tertuduh diwakili peguambela, Datuk Zaharman Zainal Abidin.
Dalam prosiding pihak pendakwaan memohon agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental sebelum kes dibicarakan.
Namun Zaharman yang mewakili memohon mahkamah mengizinkan tiada sebarang pemeriksaan mental dilakukan dan anak guamnya itu boleh berkomunikasi dan mengingati nombor kad pengenalan dengan tepat ketika diminta jurubahasa mahkamah. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929