KLANG – Pelanggan berang rambut gugur selepas mendapatkan rawatan, seorang wanita yang merupakan pemilik salon rambut diugut bunuh di Taman Sentosa, kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 2.15 petang, mangsa berusia 25 tahun ditendang dan lehernya dicekik sebelum diugut oleh dua lelaki bersenjatakan parang dan pisau lipat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sebelum kejadian, seorang pelanggan wanita datang ke premis itu bersama ibu dan kakaknya.
Tiga beranak itu kemudian mengamuk dan bertengkar di salun tersebut.
“Tidak lama kemudian, dua suspek bersenjatakan parang dan pisau lipat masuk ke dalam salun. Seorang daripada mereka menendang belakang dan mengugut mahu membunuh mangsa.
“Mangsa juga dicekik lehernya oleh seorang lagi suspek sebelum mereka beredar selepas pemilik salun menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dua suspek berusia 34 dan 37 tahun berjaya ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada pukul 1.15 tengah hari dan 6.15 petang, semalam.
Siasatan mendapati salah seorang suspek merupakan abang kepada pelanggan salun berkenaan.
“Siasatan mendapati motif kejadian adalah tidak berpuas hati berkenaan rawatan rambut. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” tambahnya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929