fbpx

Tiada peruntukan buat atlet ke AYPG 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL bergambar bersama para pegawai dan jurulatih ketika melakukan lawatan rasmi ke MSN di Bukit Jalil semalam.

PERANCANGAN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk menghantar barisan atlet ke Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain November depan sedikit tergendala selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilihat agak keberatan untuk membenarkan MPM menghantar kontinjen besar pada temasya tersebut memandangkan tiada persediaan rapi selain proses vaksinasi melibatkan remaja bawah 21 tahun dibuat.

Beliau menjelaskan, perancangan rapi perlu dibuat sekiranya mana-mana persatuan berhasrat untuk menghantar kontinjen ke setiap kejohanan dengan sokongan penuh daripada kerajaan.

“Jika MPM mahu hantar pasukan ke kejohanan tersebut, kita memang alu-alukan tetapi berhubung peruntukan, ia memang tiada dalam perancangan KBS serta MSN (Majlis Sukan Negara).

“Kita tidak boleh mudah-mudah bagi duit kepada persatuan kerana wang rakyat perlu digunakan sebaiknya. Kita hanya boleh bagi sokongan sekiranya persiapan sudah dilakukan sepenuhnya,” katanya ketika melakukan lawatan rasmi ke MSN di Bukit Jalil semalam.

Sebelum ini, MPM dalam satu kenyataan berhasrat untuk membawa kontinjen seramai 41 atlet pelapis ke temasya sukan empat tahun sekali itu melibatkan atlet remaja Orang Kurang Upaya (OKU) yang berusia 12 hingga 21 tahun.

Dalam perkembangan lain, Faizal turut menyatakan jawatankuasa siasatan dalaman berhubung kes Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sudah ditubuhkan bagi menyediakan laporan kepada kementerian.

“Jawatankuasa itu sudah ditubuhkan dan saya dimaklumkan selepas 8 Oktober, mereka boleh sediakan satu laporan kepada kementerian. Menerusi laporan itu, barulah kita akan maklumkan apa tindakan kita seterusnya,” ujar beliau.

Sebagai rekod, pingat emas yang dimenangi Ziyad dalam acara lontar peluru T20 pada Sukan Paralimpik 31 Ogos lalu dibatalkan selepas dia dikatakan lewat memasuki call room sebelum acara bermula. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI