ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis sentiasa mengubah konsep pengoperasian dalam memastikan pergerakan aset-aset semasa melaksanakan operasi tidak dapat dikesan tonto.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, operasi juga dilakukan berdasarkan maklumat tepat hasil analisis perisikan oleh APMM.
Katanya, pihaknya juga menjalankan kerjasama dengan pihak berkuasa lain seperti polis dan kastam selain penggunaan teknologi terkini seperti dron, alat pengesan sistem kedudukan global (GPS) dan radar.
“Selain itu, kita sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan penduduk tempatan terutama di perkampungan nelayan yang mempunyai potensi berlaku aktiviti penyeludupan menerusi program Sahabat Maritim,” katanya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain berkata, kegiatan tonto yang diupah sindiket penyeludupan itu sudah lama berlaku dan dilihat semakin serius membabitkan nelayan.
“Salah satu faktor terjebak tonto dan transporter adalah apabila ramai nelayan terjejas pendapatan disebabkan kewujudan operasi bot pukat tunda yang menceroboh ke kawasan tangkapan nelayan pantai.
“Mereka terpaksa mencari jalan untuk mendapatkan duit termasuk jadi tonto dan transporter sindiket penyeludupan,” ujarnya.
Selain itu, menurut Che Ani, hukuman denda bagi kesalahan di bawah Akta Racun 1952 menyebabkan penyeludup daun ketum tidak takut untuk terus melakukan kegiatan tersebut.
“Upah yang mereka dapat lumayan dan jika didenda sekalipun, mereka masih ada untung,” jelasnya.
Beliau pada masa sama menasihati nelayan supaya patuh undang-undang walaupun memperoleh keuntungan lumayan kerana ia bukan daripada sumber yang betul.
Kosmo! semalam melaporkan kejayaan sindiket penyeludupan barang terlarang seperti ketum ke Thailand menerusi perairan Kedah dan Perlis banyak dibantu oleh tonto yang menjadi tali barut kegiatan jenayah itu.
Malah, sindiket tersebut juga sanggup membayar ribuan ringgit kepada tonto bagi memastikan kegiatan mereka tidak dikesan pihak berkuasa.
Mereka dikatakan diupah RM1 hingga RM2 bagi setiap kilogram barangan yang mahu diseludup dan jika berjaya, imbuhan tambahan bakal diterima. -K! ONLINE