KUALA TERENGGANU – Rakyat Terengganu diseru agar memanfaatkan program Kebun Komuniti (Kebuniti) kelolaan Jabatan Pertanian bagi mengurangkan kos sara hidup sewaktu pandemik Covid-19 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan RM1.33 juta bagi menjayakan program Kebuniti tersebut di negeri tersebut.
Beliau berkata, setakat ini, sambutan masih kurang menggalakkan dengan hanya 2,800 penduduk negeri tersebut terlibat secara sukarela dalam program itu.
“Program ini memberi tunjuk ajar secara teori dan praktikal kepada peserta tentang teknik berkebun secara mudah dengan kaedah pertanian moden seperti sistem hidroponik dan fertigasi.
“Mereka juga akan dibekalkan set peralatan berkebun seperti pasu, penyodok tanah dan kelengkapan sistem hidroponik secara percuma,” katanya selepas menyerahkan peralatan Kebuniti tersebut kepada peserta di daerah ini di Pusat Informasi Pertanian Bandar di sini hari ini.
Azman berkata, peserta Kebuniti boleh menanam sayur-sayuran secara bersendirian atau berkelompok di ruang terhad seperti laman rumah dan pekarangan masjid serta balai raya.
Tambah beliau, tiada alasan tanah tidak subur, tidak cukup ruang dan berbatu kerana penanaman boleh disesuaikan dengan teknik pertanian moden seperti hidroponik dan fertigasi.
“Hasil daripada Kebuniti ini jika tidak cukup untuk dijual pun, ia memadai bagi kegunaan sendiri dan jiran-jiran,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929