Oleh Dr. Syakir Amir Ab. Rahman
SEJAK wabak Covid-19 dikesan dan tersebar di negara ini Februari tahun lalu, seluruh rantaian ekonomi sektor pelancong negara hampir lumpuh.
Perhotelan dan agensi pelancongan antara industri paling terkesan dengan ‘kemunculannya’.
Disebabkan pandemik itu juga, perjalanan udara merosot hampir 70 peratus ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat pada tahun lepas.
Selepas itu, peratusan pelancong meningkat kembali dalam fasa PKP Pemulihan.
Namun, PKP fasa kedua sekali lagi membawa berita buruk kepada seluruh industri pelancongan negara.
Dalam keadaan yang tidak menentu ini, sukar untuk ‘memetakan’ strategi tepat bagi memulihkan situasi pelancongan negara.
Setidak-tidaknya kaedah yang dilaksanakan kerajaan pada masa kini banyak membantu rakyat Malaysia kelompok B40 yang terjejas teruk akibat pandemik.
Justeru, satu inisiatif untuk menggerakkan sektor pelancongan domestik perlu dilakukan dengan berperingkat, tersusun dan terperinci.
Penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor merupakan penjana ekonomi pelancongan yang utama.
Harus diakui, setiap hujung minggu dan cuti umum, warga Kuala Lumpur dan Selangor lazimnya keluar mengunjungi destinasi pelancongan utama atau menziarahi keluarga di kampung.
Kini, sementara menunggu kelonggaran merentas negeri, inisiatif mengaktif dan mempromosikan pelancongan domestik antara daerah boleh dilaksanakan segera.
Semestinya, pelaksanaan ini harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Dalam hal ini, mereka yang berada di bandar-bandar utama seperti Shah Alam, Seremban, Kuantan, Ipoh dan Kuching disarankan untuk keluar mengunjungi daerah-daerah lain bagi menerokai tarikan dan sumber pelancongan di negeri masing-masing.
Apabila jumlah mobiliti domestik meningkat, masyarakat di luar bandar dapat menikmati kesejahteraan ini.
Agensi kerajaan peringkat negeri dan tempatan pula harus menjadikan pendekatan ini sebagai fokus utama.
Strategi perlu diperkemaskan bersama pelan tindakan jangka masa pendek dan panjang.
Agensi terlibat perlu mencari potensi tempatan untuk dikomersialkan.
Bantuan promosi secara berkala, inisiatif kewangan serta latihan kemahiran kepada masyarakat perlu dilakukan segera.
Usaha ini tidak hanya diberikan penekanan kepada golongan muda sahaja, tetapi semua kelompok masyarakat di setiap daerah perlu diberikan peluang untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang mereka sediakan.
Gerai makanan tempatan, inap desa dan premis jualan produk tempatan antara tarikan kepada pengunjung dari daerah dan bandar utama lain.
Masyarakat yang dahulunya belum pernah terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan, boleh melihat keupayaan kemahiran sendiri dan meninjau peluang tersebut.
Tuntasnya, promosi perlu dipertingkatkan dan media sosial adalah kaedah terbaik dalam merapatkan jarak antara pengusaha tempatan dan pelancong.
Pelancongan domestik daerah seperti ini mampu mengembalikan semangat pengusaha tempatan, sekali gus memulihkan kembali ekosistem ekonomi masyarakat.
Ayuh kita semarakkan produk pelancongan tempatan demi kesejahteraan semua.
—————————————————————————————————————————————————–
Dr. Syakir Amir Ab. Rahman ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.