RANTAU PANJANG – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM3.04 juta dalam tempoh dua minggu selepas mengambil alih penugasan Op Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand bermula 16 September lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, sepanjang tempoh itu, rampasan melibatkan kes berkait Kementerian Kesihatan menjadi penyumbang tertinggi iaitu sebanyak lebih RM1 juta.
Menurutnya, barangan rampasan berkait dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjumlah RM1 juta menjadi penyumbang kedua tertinggi.
“Sepanjang tempoh dua minggu ini, Batalion 7 PGA juga telah merampas 58 buah kenderaan yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
“Seramai 48 individu yang terdiri daripada warga tempatan dan Thailand telah ditahan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA Lubok Setol di sini hari ini.
Azhari memberitahu, selain itu, seramai lapan orang pendatang asing tanpa izin telah ditahan sepanjang dua minggu penugasan di Op Benteng Covid-19 itu.
Dalam perkembangan lain, menurut Azhari, pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis beras Siam bernilai RM11,000 dalam serbuan di Kampung Limau Purut di sini semalam. -K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929