TAMPIN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan memasang satu perangkap kamera bagi mengesan kehadiran harimau kumbang di Kampung Anak Air Durian Daun, Pondoi, di sini, 3 September lalu.
Pengarah Perhilitan NS, Wan Mat Wan Harun berkata, perangkap berkenaan dipasang susulan terdapat aduan dari penternak berusia 60-an berhubung ternakan kambingnya yang mati dipercayai akibat binatang dilindungi berkenaan pada 2 September lalu.
Menurutnya, kakitangan Perhilitan telah turun padang ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dakwaan penduduk tersebut serta mendapati dakwaannya berasas berdasarkan kesan gigitan pada binatang ternakan berkenaan.
“Namun, kita masih belum menemui jejak harimau kumbang tersebut. Oleh itu, kita telah meletakkan satu perangkap berserta umpan di lokasi berhampiran aduan tersebut. Satu perangkap kamera turut dipasang bagi mengesan kehadiran harimau kumbang berkenaan.
“Lokasi perangkap berkenaan dipasang berhampiran Hutan Simpan Tebong dan kebiasaannya, aduan berkaitan harimau di negeri ini adalah harimau kumbang,” katanya hari ini.
Wan Mat berkata, pihaknya mengambil serius aduan kehadiran harimau kumbang dan buat masa ini, hanya terdapat satu perangkap harimau yang aktif di negeri ini.
Difahamkan, penternak berkenaan mendakwa tiga ekor kambingnya mati digigit harimau, manakala seekor lagi kambingnya telah hilang. Kejadian berkenaan berlaku kali kedua, di mana kejadian pertama berlaku kira-kira dua tahun lalu. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929