IPOH – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini hari ini kerana cubaan membunuh seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan minggu lalu.
Tertuduh, Nursahidah Amran, 22, bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.
Dia didakwa telah menghentak dan menyebabkan kecederaan pada kepala seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan dengan pengetahuan tertuduh bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2 di sini antara pukul 7 pagi hingga 2.45 petang, 22 September 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, tertuduh juga tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu menganiaya mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000, penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929