fbpx

Pencen Ahli Parlimen jangkau RM100,000 sebulan – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan penubuhan jawatankuasa ahli parlimen untuk membicangkan isu pendapatan wakil rakyat termasuk soal Akta Pembiayaan Dana Politik.

Beliau mendedahkan, berdasarkan pengalaman menjadi seorang menteri, gaji untuk jawatan tersebut boleh mencecah RM55,000 selain berpeluang mendapat rumah yang agak mewah di Putrajaya selain sebidang tanah dan kemudahan seperti pemandu.

“Mereka juga mendapat AP (permit import) untuk membawa masuk kereta mewah dan elaun percutian mencecah RM100,000 bagi yang sudah berkahwin setiap tahun,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mendakwa, bukan itu sahaja, menteri yang sudah diberhentikan turut berpeluang mendapat gratuiti dengan ada yang mendapat manfaat lebih daripada RM1 juta kerana pengiraan mengikut tempoh masa berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Menyentuh soal pencen, Syed Saddiq berkata, pencen jawatan antaranya seperti senator, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, exco, Timbalan Perdana Menteri dan speaker tidak disatukan.

“Itu semua pencen berasingan. Kalau gabung boleh melangkaui RM100,000 sebulan jika seseorang itu pernah berkhidmat di banyak kedudukan yang berbeza.

“Sebab itu mungkin ramai anak muda di luar sana bertanya kenapa ada Ahli Parlimen yang tidak mahu bersara walaupun sudah berkhidmat puluhan tahun kerana realiti pengiraan pencen itu berbeza. Lagi lama berkhidmat lagi lagi tinggi pencen,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memahami ada dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang mengatakan mereka perlu mengeluarkan dana dari poket sendiri untuk membiayai kos pejabat dan petugas selain Ahli Parlimen kerajaan pula menyatakan perlu ada dana luar untuk membantu kawasan.

“Jadi mari adakan perbincangan yang jujur mengenai Akta Pembiayaan Dana Politik dan dengan itu kita bezakan gaji yang seseorang itu dapat dan pada masa yang sama apa yang perlu dibelanjakan kepada rakyat,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI