fbpx

‘Pelancong asing boleh ke Langkawi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NASARUDDIN (kanan) berbual dengan pemain industri pelancongan sempena program Hari Pelancongan Sedunia di Resort Dash, Langkawi semalam.

LANGKAWI – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bercadang untuk melaksanakan gelembung pelancongan antarabangsa di Pulau Langkawi pada penghujung November depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pihaknya kini dalam beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, menerusi gelembung pelancongan antarabangsa itu, hanya pelancong dari negara tertentu sahaja yang dibenarkan berkunjung ke pulau ini.

“Kita akan membuat pertimbangan khas mengenai destinasi-destinasi yang akan dibenarkan.

“Gelembung pelancongan antarabangsa ini dicadangkan bermula dengan penerbangan sewa khas dari negara-negara yang telah dikenal pasti sahaja dulu,” katanya ketika ditemui pada program Hari Pelancongan Sedunia di Resort Dash, di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya memilih pelaksanaan program tersebut pada bulan November atau Disember bersempena cuti hujung tahun serta cuti musim sejuk di negara lain.

“LADA juga akan mendengar cadangan-cadangan daripada pihak industri pelancongan di sini untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi menghidupkan lagi sektor pelancongan di sini,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, seramai 24,336 orang pengunjung telah memasuki Langkawi sejak projek rintis gelembung pelancongan dilaksanakan pada 16 September lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 67 peratus atau 16,337 pengunjung masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, 20 peratus atau 4,772 orang masuk melalui Terminal Feri Kuah dan 13 peratus atau 3,227 orang melalui Jeti Tanjung Lembong.

“Angka ini jelas menunjukkan penerbangan menjadi pilihan utama pengunjung ke Langkawi,” tambahnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI