PETALING JAYA – MR D.I.Y. akan menyumbang RM300 kepada hampir 15,000 penuntut Universiti Malaya (UM) menerusi program #DIY4UM dengan usaha sama Touch ‘n Go yang melibatkan bantuan tunai RM4.5 juta.
Bantuan tunai itu akan diberikan melalui Touch ‘n Go eWallet dalam tiga kali bayaran iaitu sebanyak RM100 pada 1 dan 30 November diikuti 30 Disember.
Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y. Group (M) Berhad, Adrian Ong berkata, program tersebut bertujuan membantu penuntut membuat persiapan untuk kembali ke kampus.
“Pelajar akan dapat mempersiapkan diri dengan barangan keperluan pembelajaran serta peralatan perlindungan Covid-19.
“Mereka juga boleh mendapatkan pelbagai barangan alat tulis di cawangan MR D.I.Y. serta platform online dengan menggunakan kredit tunai yang diberikan.
“Kami percaya amat penting untuk kita memastikan golongan ini dibekalkan dengan barangan keperluan dan perlindungan diri mencukupi supaya mereka kekal selamat memberi tumpuan kepada pengajian masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Semua penuntut UM yang merupakan rakyat Malaysia dan belum miliki ijazah layak menerima bantuan tersebut.
Mereka hanya perlu mendaftar secara online melalui portal maya UM bermula 3 Oktober ini untuk membuktikan mereka mempunyai e-dompet Touch ‘n Go yang sah.
Inisiatif #DIY4UM adalah siri usaha sama terkini antara MR D.I.Y. dan UM.
MR D.I.Y. sebelum ini telah bekerjasama dengan UM dan Kementerian Pendidikan selama empat tahun menerusi peraduan DIY Made Simple di bawah Pusat Komuniti dan Kelestarian UM.