fbpx

Mimi Haney kini bergelar influencer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIMI HANEY mengembangkan kariernya daripada seorang penstriman video kepada seorang influencer yang menjana pendapatan lumayan dengan kerjasama dengan jenama-jenama hebat.

Oleh SITI NURHEZZATY MOHAMAD HAMDAN

PENGLIBATAN golongan wanita dalam dunia permainan video bukan lagi suatu yang mustahil dan bukan sahaja tertumpu untuk menjadi seorang pemain hebat, sebaliknya bidang ini boleh dimanfaatkan dengan lebih luas lagi.

Syamimi Haney Jaffry atau lebih mesra dikenali sebagai Mimi Haney merupakan salah seorang gadis yang menceburkan diri dalam dunia permainan vi­deo seperti Rainbow Six Seige dan Battlefied.

Gadis berumur 27 tahun dan berasal dari Johor itu mengakui minatnya dalam permainan vi­deo dipupuk sejak kecil oleh ba­panya dan mula menceburkan diri dalam dunia penstriman vi­deo di Youtube pada tahun 2015.

Siapa sangka, minat yang dipupuk itu telah mengubah karier pembabitannya dalam dunia penstriman video menjadi seorang influencer yang mampu menjana pendapatan lumayan di samping bekerjasama dengan jenama-jenama hebat.

MIMI HANEY merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat hartanah di Singapura pada siang hari dan melakukan penstriman pada sebelah malam bermula pukul 8.30 malam.

Menurutnya, walaupun bergelar streamer, namun minatnya lebih tertumpu kepada berkongsi info teknologi maklumat (IT) terkini berkaitan jenama permainan video supaya dapat berkongsi dan membantu orang ramai di luar sana yang berta­nyakan mengenai perisian permai­nan video.

“Sebenarnya, kita tidak memiliki ramai yang melakukan reviu peralatan mengenai perisian komputer yang bersesuaian untuk permainan video dalam bahasa Melayu.

“Jadi, Mimi anggap ini adalah satu platform yang baik untuk digunakan bagi menyampaikan maklumat-maklumat agar mampu membantu para pemain permainan video di luar sana mendapatkan info serta segala soal jawab dapat dikongsi bersama kerana lebih mudah difahami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mimi mengakui permulaan menceburi bidang itu bukan perkara mudah kerana sikap sesete­ngah netizen yang menganggap golongan wanita menggunakan platform itu adalah bagi mengejar populariti semata-mata dan mereka tidak memiliki ilmu profesional.

“Sikap ini yang Mimi mahu buktikan bahawa kita golongan wanita boleh berjaya dalam industri sukan digital kerana minat dan usaha kita sendiri.

“Sehingga kini, Mimi masih tidak terikat dengan satu jenama sahaja dan telah bekerjasama dengan banyak jenama lain untuk Mimi kongsikan kebaikan dan kekurangan sesuatu produk itu supaya jelas dan boleh membantu orang dalam membuat keputusan.

“Apabila mereka bertanyakan soalan dan Mimi dapat jawab dengan baik menerusi pengetahuan, Mimi rasa puas hati dapat membantu serta menyampaikan sesuatu yang boleh dimanfaatkan kepada orang lain,” ujarnya.

MIMI HANEY turut aktif dalam dunia permainan video seperti Rainbow Six Seige dan Battlefied.

Selain itu, gadis ini turut memperoleh pendapatan sebagai duta jenama perisian yang menjalankan perniagaan menggunakan Shopee.

Mimi yang juga seorang eksekutif di sebuah syarikat harta­nah di Singapura pada siang hari mengakui mengalami keletihan apabila perlu melakukan penstriman pada sebelah malam dan kadangkala tidak dapat me­nyertai beberapa jemputan kerana ke­sibukan bekerja.

“Mimi sedar untuk mengecapi sesuatu bukan mudah dan kerana minat serta impian yang tinggi, Mimi tetap akan membuat live pada waktu malam lebih kurang dua jam bermula pukul 8.30 malam.

“Mimi juga bersyukur memiliki keluarga yang sentiasa menyokong dan suami yang menjadi tulang belakang membantu memperoleh maklumat dalam industri ini sekali gus menjadikan segalanya berjalan lancar.

“Oleh itu, buat para wanita yang berada dalam dunia penstriman ini atau yang masih baharu hendaklah sentiasa fokus dan bentuk identiti sendiri yang kita selesa. Buanglah pemikiran se­perti perlu berpakaian seksi baru orang minat atau suka kerana menjadi diri sendiri adalah lebih baik,” kata gadis kelahiran Johor itu lagi.

Antara pencapaian gadis ini serta jenama permainan dan gaya hidup yang mengisi portfolio wanita ini adalah se­perti Sony Playstation, duta Asus ROG selama dua tahun, Schneider Electric, EA, Bandai, Call Of Duty, Seagate, Transcend, Razer, Cooler Master, Intel, Timbuk2, Sephora, Mac, Permainan AOV, Prismplus display, MSI, Edifier, Casetify, PUBG dan jenama telekomunikasi Honor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI