Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KERAJAAN negeri Perlis memberi imbuhan sebanyak RM150,000 kepada jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly yang memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Jepun, 4 September lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, imbuhan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas kejayaan Abdul Latif yang menjadi kebanggaan negara.
“Semoga ini akan menjadi galakan dan inspirasi kepada beliau untuk memperoleh kejayaan yang lain pada masa akan datang.
“Difahamkan pada tahun 2022, dia akan mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan imbuhan tersebut di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga ingin mengucapkan tahniah kepada ibu dan bapa Abdul Latif yang sentiasa memberi semangat serta mendoakan kejayaannya.
Sementara itu, Azlan turut mengumumkan kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan anugerah olahragawan dan olahragawati yang dijangka diadakan pada tahun depan.
Menurutnya, calon untuk menerima anugerah tersebut belum dipilih, namun tujuan pelaksanaannya adalah untuk menghargai sumbangan atlet dari negeri ini yang menyumbangkan kejayaan kepada negeri dan negara.
Dalam pada itu, Abdul Latif bersyukur serta terharu dengan imbuhan yang diberikan dan dia akan kembali semula ke Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada November depan untuk mempersiapkan diri bagi menyertai tiga kejohanan antarabangsa pada tahun depan.
“Tahun depan saya ada Sukan Para ASEAN di Hanoi, Vietnam; Sukan Para Asia di Hangzhou, China dan Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun.
“Alhamdulillah, kecederaan yang dialami sebelum ini sudah semakin pulih. Saya masih buat fisioterapi dan ketika ini ada juga buat latihan tetapi tidak terlalu berat,” ujarnya.