PASIR GUDANG – Hasrat Kuching City untuk meraih kemenangan pertama tertangguh setelah dua kali pasukan Perak FC mempamer kebangkitan untuk mengikat kedudukan 2-2 pada saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini hari ini.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan yang tewas pada aksi pembukaan mempamerkan aksi bertenaga bagi membuat kemenangan sulung dalam saingan peringkat Kumpulan B.
Pasukan tuan mengejutkan pasukan lawan apabila mencipta jaringan pada minit ke-10 berpunca sepakan bebas kapten, Adam Shreen Tambi menyebabkan berlaku kekalutan dalam kotak penalti sebelum disudahkan Hudson Dias yang merembat bola dari jarak dekat.
Pasukan pelawat cuba kembali mengatur gerakan dan hampir memperoleh gol penyamaan namun tandukan Nana Poku dari jarak dekat hasil hantaran lambung Firdaus Saiyadi berjaya dikuis penjaga gawang, Iqbal Mohd. Suhimi pada minit ke-35.
Bersambung babak kedua, skuad The Bos Gaurus itu yang bagaikan mendapat tonik tampil dengan gaya permainan lebih garang memberi tekanan kepada skuad The Cats.
Hasilnya, Perak berjaya memperoleh sepakan penalti apabila memaksa pasukan Kuching City melakukan kesilapan selepas pemain pertahanan import, Aylton Ananias melakukan terjahan dari arah belakang menjatuhkan Poku pada minit ke-47.
Pemain gantian yang dibawa masuk pada awal babak kedua, Adib Abdul Ra’op tidak berdepan masalah untuk meledak gol penyamaan perlawanan itu.
Pada minit ke-67, Kuching City sekali lagi di hadapan hasil sepakan percuma Mohamad Alif Hassan dari jarak 25 meter menerjah ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gawang, Azri Ab Ghani.
Bagaimanapun, kelebihan dimiliki The Cats itu tidak bertahan lama apabila Perak sekali lagi menyamakan kedudukan dua minit berselang hasil jaringan Aizat Safuan Razali pada minit ke-69.
Hasrat kedua-dua pasukan yang bertali arus melakukan serangan ke kubu lawan pada 10 minit terakhir permainan gagal memburu gol kemenangan yang dicari.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata bagi peringkat Kumpulan B Piala Malaysia.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929