fbpx

JPN sahkan tiada kebocoran maklumat data peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang disiarkan secara langsung di Facebook.

PETALING JAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tiada sebarang kes kebocoran data peribadi rakyat Malaysia melalui sistem myIDENTITY

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihak JPN telah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci dan mendapati tiada kebocoran atau perkara-perkara tidak diingini dalam sistem itu.

Katanya, JPN berkongsi perkhidmatan sistem tersebut dengan lebih 100 agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“JPN berkongsi perkhidmatan sistem myIDENTITY dengan beberapa agensi kerajaan lain bagi tujuan semakan dan pengesahan identiti warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berurusan dengan agensi berkenaan.

“JPN telah menjalankan siasatan dalaman dan mendapati tiada kebocoran data berlaku dalam sistem JPN dan mengesahkan tiada sebarang kes seperti demikian yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang disiarkan secara langsung di Facebook di sini hari ini.

Jelasnya, pada Isnin lalu pihak JPN membuat laporan polis berhubung dakwaan data peribadi berjumlah empat juta rakyat Malaysia yang lahir dari tahun 1979 sehingga 1998 dijual secara dalam talian pada harga 0.2 BTC (RM35,950) diperoleh daripada LHDN melalui perkongsian sistem myIDENTITY milik JPN.

Katanya, pihaknya akan memanggil semua agensi yang terbabit dalam penggunaan data sistem myIDENTITY ini untuk membincangkan kaedah-kaedah yang sepatutnya dibuat bagi mengambil langkah lebih ketat demi keselamatan.

“Pihak Kementerian Ddalam Negeri (KDN) sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan JPN adalah terjamin.

“KDN akan memastikan semua agensi yang menggunakan data myIDENTITY daripada JPN segera mengambil langkah keselamatan yang tinggi dan mematuhi polisi bagi mengelakkan kebocoran data daripada diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI