Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
BENJAMIN MORA mengakui pasukan bimbingannya, Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu menang dengan jaringan lebih besar pada aksi pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam.
Pengendali skuad Harimau Selatan itu memberitahu, sentuhan penyudah yang kurang tajam menyebabkan skuadnya terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 2-0 ke atas skuad The Red Warriors (TRW).
Katanya, rehat yang panjang menyebabkan JDT sukar mendapat rentak permainan yang dimahukan selain diberikan tentangan hebat pasukan muda Kelantan FC itu.
“Pada babak pertama, kami ada dua tiga peluang terhidang untuk mencipta gol, namun nasib tidak menyebelahi kami dan hanya dapat gol menerusi sepakan penalti.
“Bersambung babak seterusnya, beberapa pertukaran dibuat namun hanya mampu menambah satu gol. Kami patut boleh menang besar, namun hanya dua jaringan mampu direkodkan.
“Apa-apa pun, saya tetap berpuas hati dengan kemenangan ini dan berjaya mengutip tiga mata dan tidak dibolosi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Dalam pada itu, penolong ketua jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya berkata, pemainnya sudah mengikut disiplin taktikal yang cukup baik bagi mengelakkan jadi mangsa belasahan JDT.