SEPANG – Polis mengesahkan kemalangan maut di Kilometer 42.2 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan dari Bandar Serenia di sini pagi tadi berpunca daripada hilang kawalan kenderaan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah lori jenis Hino dan treler Volvo.
Katanya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, sebelum kejadian berlaku pemandu lori dan pemandu treler terbabit memandu di lorong paling kiri dari arah yang sama menghala ke Nilai.
“Bagaimanapun, setiba dilokasi kejadian lori yang dipandu mangsa, lelaki Melayu berusia 32 tahun tidak dapat mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian belakang kiri treler.
“Akibat dari perlanggaran tersebut, lori berkenaan mengalami kerosakan pada keseluruhan bahagian hadapan namun treler terbabit hanya mengalami kerosakan pada besi penghadang kiri bahagian belakang,” katanya hari ini.
Menurut Wan Kamarul Azran, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat.
Beliau berkata, siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929