KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan yang keluar mencari makanan sehingga menganggu kawasan penempatan penduduk di Kampung Sungai Tias, Kuala Krai Ahad lalu.
Tangkapan gajah liar yang diberi nama Awang Nor dan dianggarkan berusia dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun itu dijalankan kira-kira pukul 10.30 pagi.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi menangkap gajah liar itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat Sabtu lalu.
“Kita dapati ia merupakan aduan berulang melibatkan dua ekor gajah yang berada di bawah pemantauan Perhilitan. Gajah liar itu dipercayai keluar dari hutan Hutan Simpan Kekal Serasa di sini untuk mencari sumber makanan dan populasi haiwan tersebut yang mendiami kawasan berkenaan dianggarkan lebih daripada 12 ekor.
“Sehubungan dengan itu, lapan anggota Perhilitan telah mengambil tindakan tembak halau bagi menghalau gajah liar supaya kembali semula ke hutan simpan, namun tidak berhasil sehingga kita terpaksa menjalankan operasi menangkap haiwan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, Awang Nor yang dianggarkan seberat 2 tan itu ditangkap dengan bantuan seramai 24 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, Jabatan Perhilitan Kelantan dan Terengganu.
Ujarnya, dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Terengganu iaitu Kala dan Suria telah digunakan bagi membantu operasi pemindahan gajah liar berkenaan. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929