KOTA BHARU – Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik orang kenamaan (VIP) yang memotong di garisan berkembar di Jalan Bukit Marak-Binjai berdekatan Chabang 3, Gong Dermin di sini dikatakan terpaksa berbuat demikian kerana mengejar masa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, semasa kejadian, pemandu berusia 31 tahun itu dalam perjalanan untuk mengambil VIP di rumah beliau di Pengkalan Chepa sebelum menghantarnya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini.
VIP itu adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Kejadian berlaku pada pukul 5.20 petang, Ahad lalu.
“Disebabkan kesuntukan masa, pemandu MPV itu terpaksa memotong kenderaan di garisan berkembar. Dia bertindak demikian kerana VIP terbabit akan menaiki pesawat pada pukul 5.50 petang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan akan menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut termasuk saman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung video yang memaparkan Toyota Alphard berwarna hitam dipercayai milik seorang VIP memotong kenderaan lain di garisan berkembar di Jalan Bukit Marak-Binjai berdekatan Chabang 3, Gong Dermin.
Tindakan pemandu MPV tersebut dilihat hanya mementingkan diri sendiri apabila cara pemanduannya membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Sementara itu, Ahmad Marzuk mengucapkan terima kasih kepada individu yang merakam video dan menegur kesalahan tersebut sama ada secara langsung atau melalui komen di media sosial.
“Staf (pemandu) yang terlibat juga telah dipanggil memberikan keterangan,” katanya.
Marzuk memberitahu, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. – K! ONLINE