PUTRAJAYA – Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat kebenaran mencabar tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada satu tarikh lain.
Ketetapan itu diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Has Zanah Mehat yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Mohd. Zaidi Ibrahim selepas mendengar penghujahan peguam-peguam perayu dan responden.
Hakim Has Zanah menangguhkan keputusan hingga November ini bagi membolehkan panel itu memutuskan secara serentak dua lagi rayuan kerana penghujahan yang dikemukakan sebelum ini melibatkan isu yang sama.
Satu rayuan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Renggam, Datuk Seri Salahuddin Ayub, ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari manakala satu lagi rayuan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dengan keputusan kedua-dua rayuan itu sepatutnya disampaikan Khamis ini.
Sebelum itu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar berhujah, Mahkamah Tinggi sepatutnya membenarkan anak guamnya memulakan semakan kehakiman untuk mencabar nasihat yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri yang dihujahkan berniat jahat dan tidak munasabah. – K! ONLINE