BALIK PULAU – Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat mengedar dadah jenis heroin di dua lokasi di negeri ini pada Jumaat lalu.
Penganggur berusia 36 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang di tepi Jalan Tun Hussein On, Seberang Jaya pada pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menemui dua bungkusan heroin seberat 907 gram bersama suspek yang dipercayai aktif dalam kegiatan itu sejak lima bulan lalu.
“Susulan tangkapan itu, polis telah menyerbu sebuah tapak parkir di sebuah kondominium di Golden Triangle di Relau, Bayan Lepas dan menjumpai lapan bungkusan dadah yang disimpan di dalam sebuah kereta jenis Chevrolet.
“Keseluruhan dadah dirampas di dua lokasi itu dianggarkan seberat 4.59 kilogram yang bernilai RM61,573,” katanya. – K! ONLINE