ALOR SETAR – Seorang pembantu kedai dobi mengalami kerugian sebanyak RM23,900 selepas terpedaya dengan panggilan seorang individu menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket/Siber), Deputi Superintendan Mohd. Ridzuan Nor Ihsan berkata, mangsa berusia 23 tahun itu dimaklumkan kononnya namanya telah disalah guna untuk pendaftaran syarikat serta mempunyai tunggakan cukai.
“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu menyamar sebagai pihak polis yang meminta mangsa membuat laporan polis untuk menafikan tentang salah guna nama tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa juga diarahkan membuat aduan dengan Bank Negara untuk perlindungan akaun bank.
“Mangsa yang terpedaya telah menyerahkan maklumat perbankan seperti kata laluan, maklumat identiti (ID) pengguna, nombor kad mesin pengeluaran automatik (ATM) serta nombor kod kebenaran transaksi (TAC) kepada sindiket berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, penipuan tersebut disedari mangsa setelah dia membuat semakan akaun dan mendapati wang sebanyak RM23,900 telah tiada. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929