PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) komited membantu kerajaan untuk menjana dan memacu semula ekonomi negara menerusi sains, teknologi dan inovasi (STI).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ketika ini, Mosti berada pada landasan yang tepat dalam menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan dan berteknologi tinggi.
Beliau berkata, hasrat besar itu disokong oleh Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MySTIE) yang dilancarkan pada 8 Disember 2020.
“Gabungan kedua-dua DSTIN dan MySTIE ini akan memastikan kemajuan sains dan teknologi bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, Mosti turut menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Adham berkata, strategi-strategi di bawah pemangkin dasar pertama dan kedua dalam RMK-12 itu adalah selari dengan komitmen yang dilaksanakan Mosti ketika ini.
Menurutnya, dasar pemangkin itu antara lain mahu membangunkan bakat masa hadapan serta mempercepat penerimaan dan penggunaan teknologi dan inovasi.
“Ia bertepatan dengan usaha pemulihan negara khususnya menjana semula ekonomi pasca pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929